suria

Tiada Pelindungan Untuk Mahasiswa Yang Langgar Undang-Undang

SHAH ALAM: Kementerian Pengajian Tinggi tidak akan memberi pelindungan atau keistimewaan kepada penuntut Institusi Pengajian Tinggi yang ditahan polis kerana melanggar undang-undang.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan seorang penuntut lelaki berusia 19 tahun di Desa Mentari, bandar Sunway malam tadi kerana menulis dalam facebooknya mengaku terlibat dalam isu cubaan membakar gereja.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar hari ini berkata penuntut yang ditahan pada pukul 7.30 malam itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk diambil keterangan dan dibebaskan tengah malam tadi setelah polis berpuashati yang dia hanya main-main.

Mohamed Khaled berkata selepas Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) dipinda tahun lepas, penuntut institusi pengajian tinggi kini boleh didakwa berdasarkan undang-undang di negara ini.

"Apa nak buat pelajar tidak ada status keistimewaan, kalau ada AUKU dulu boleh saya protect (lindungi) tapi AUKU dah dipinda," katanya selepas melancarkan VARSITI Berita Harian, sisipan akhbar mengenai perkembangan dan kehidupan pelajar dan institusi pengajian tinggi negara yang akan diterbitkan Khamis ini.

Beliau berkata penuntut perlu bertanggungjawab dan tidak melibatkan diri dalam perkara yang sensitif. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain