Skandal PKFZ: Kes Disebut Semula 26 Mac - Semasa | mStar

Skandal PKFZ: Kes Disebut Semula 26 Mac

KLANG: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 26 Mac ini untuk sebutan semula kes bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka O.C.Phang yang menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan RM254.85 juta dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Hakim Yong Zarida Sazali menetapkan tarikh itu bagi membolehkan pihak pendakwaan membekalkan dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan.

Mahkamah sebelum ini menetapkan hari ini untuk sebutan bagi Phang menyerahkan pasportnya kepada mahkamah setelah beliau memohon penangguhan kerana dijadual untuk ke luar negara.

Phang, yang memakai baju bercorak batik dan berseluar hitam, hadir di mahkamah pada jam 9 pagi ditemani suaminya.

Terdahulu peguam beliau, Francis Ng Aik Guan, memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya telah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah petang semalam.

Beliau turut memohon tarikh sebutan baru bagi membolehkan pihaknya dibekalkan dengan dokumen berkaitan selain untuk mengemukakan permohonan lain jika perlu.

Ketua Unit Pelucuthakan Harta, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad yang mengendalikan pendakwaan, memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan bersedia untuk menyerahkan dokumen yang diperlukan tetapi hari ini adalah sebutan untuk Phang menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Pada 10 Disember lepas, Phang, 63, didakwa, sebagai pengurus besar yang diamanahkan atas dana dalam sebuah akaun di RHB Bank Berhad, melakukan pecah amanah membabitkan RM98,700,000 di LPK, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, di sini, antara 1 Oktober 2004 dan 5 September 2005.

Dia juga menghadapi dua lagi tuduhan, masing-masing membabitkan jumlah RM21,600,000 dan RM134,550,000, yang dilakukan di tempat yang sama antara 30 September 2005 dan 9 Mei 2006 serta antara 1 Jun 2005 dan 13 Januari 2006.

Phang yang tidak mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dia dibenarkan diikat jamin RM350,000 dengan seorang penjamin.

Sejurus prosiding berakhir, Dzulkifli yang ditanya pemberita sama ada terdapat individu lain yang akan didakwa berhubung skandal PKFZ hanya menjawab: "Tunggu sahaja dalam dua tiga minggu ini".

Stephen Abok, 51, Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), syarikat pemaju projek itu, dan arkitek, Bernard Tan Seng Swee, 48, dari syarikat perunding BTA Architect, menghadapi dua tuduhan menipu LPK membabitkan tuntutan sebanyak RM5.42 juta pada 31 Julai dan 21 September 2007.

Tan dan bekas pengurus projek KDSB, Law Jenn Dong, 51, turut menghadapi 24 pertuduhan menipu LPK bagi mendapatkan pengesahan pembayaran sebanyak RM116.85 juta kepada KDSB membabitkan dua projek besar di PKFZ, antara 30 Jun 2006 dan 30 Mei 2008. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Suhakam Saran Dialog Antara Pemimpin Agama

Artikel Berkaitan

Artikel Lain