suria

Sembilan Kawasan Seludup Dikenalpasti

PULAU PINANG: Polis marin mengenal pasti sembilan kawasan yang sering dijadikan aktiviti untuk pelbagai kes penyeludupan di kawasan pantai Wilayah 1.

Wilayah 1 meliputi negeri Pulau Pinang, Perak, Kedah, Perlis dan Selangor.

"Kita akan bekerjasama dengan polis cawangan khas dan pasukan G7 untuk membanteras aktiviti penyeludupan seperti memperdagangkan orang, penyeludupan barangan dan jenayah berkaitan dadah," kata Komander Penguatkuasa Operasi Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan.

Beliau berkata, Langkawi adalah antara kawasan yang sering dijadikan tempat menyeludup barangan ekoran ia merupakan pulau bebas cukai.

"Kita akan menumpukan perhatian kepada penglibatan nelayan dengan aktiviti dadah di Pulau Pinang dan Kedah sementara di Selangor, lebih banyak aktiviti memperdagangkan orang berlaku berkutan pantai negeri ini terletak tidak jauh dari kawasan sempadan dengan negara jiran dan perairan antarabangsa," katanya.

Zainul Abidin berkata, 395 orang ditahan tahun lalu dalam 1,600 operasi polis marin berbanding 568 orang dalam 1,196 operasi pada tahun sebelum itu.

Katanya, seramai 755 pendatang asing tanpa izin dari pelbagai negara ditahan tahun lalu di bawah Akta Imigresen.

"Mereka ini dari negara seperti Indonesia, Pakistan, Myanmar, Iraq, Thailand, Bangladesh, India, Nepal dan Afghanistan ditahan di kawasan pantai Wilayah 1 ketika cuba memasuki negara ini," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain