suria

Sekolah Banyak Guna Elektrik Untuk Penyejukan

KUALA LUMPUR: Sekolah banyak menggunakan tenaga elektrik bagi tujuan penyejukan dan diikuti pencahayaan, menurut hasil kajian program kecekapan tenaga di lima buah sekolah di Kuala Lumpur.

Kajian lima bulan itu menunjukkan penyejukan menggunakan 60 peratus penggunaan tenaga, pencahayaan, 30 peratus, bilik darjah, 27 peratus dan makmal komputer, 25 peratus.

Sebanyak 160 pelajar dari lima sekolah menyertai Projek Tindakan Kecekapan Tenaga Sekolah Menengah (SSEEAP) yang dibiayai melalui geran daripada ExxonMobil RM70,000.

Ia dilancarkan pada April tahun lepas yang diuruskan oleh Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan Malaysia (CETDEM), sebuah pertubuhan bukan kerajaan untuk pembangunan lestari.

"Rakyat Malaysia perlu menjadi lebih cekap dengan penggunaan tenaga dan mereka mesti lebih inovatif dan kreatif, mereka membuat sumbangan sendiri ke arah pembaikan alam sekitar kita," kata Pengarah Eksekutif CETDEM dan Ketua Projek SSEEP, Anthony Tan Kee Huat selepas majlis penyampaian hadiah projek itu di sini hari ini. Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist, SMK Seri Ampang, Victoria Institution, SMK (P) Pudu dan SMK Lelaki Methodist in, sekolah yang menyertai projek ini yang bertujuan mewujudkan kesedaran dan kecekapan dalam aktiviti tenaga.

Program itu menyaksikan penjimatan tenaga secara keseluruhan dari 525 kilowatt sejam kepada 97,500 kilowatt sejam bergantung pada aktiviti yang dijalankan di sekolah kerana pelajar digalakkan memadam lampu, mengurangkan tahap pendingin hawa dan kitar semula.

Tan berkata, kecekapan tenaga bukan bermakna kurang menggunakan tenaga tetapi menggunakannya lebih bijak dan mengambil peluang dengan teknologi jimat tenaga.

"Jika kita gunakan tenaga dengan lebih cekap, dapat mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau dan memanfaatkan alam sekitar," tambah beliau. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain