suria

Polis Tahan Peniaga Miliki Rifel Angin

JOHOR BAHARU: Polis menahan seorang peniaga berusia 62 tahun kerana memiliki rifel angin di sini Jumaat lepas.

Suspek ditangkap di rumahnya di Taman Daya di sini pada kira-kira pukul 3.30 petang.

Polis juga merampas daripadanya pelbagai komponen bagi menghasilkan rifel angin, termasuk lima buntut rifel, picu, tiga paip logam untuk membuat laras senapang dan penabur.

Siasatan awal polis mendapati suspek mungkin membuat rifel angin untuk dijual kepada orang ramai, kata ketua polis Johor Baharu (Selatan) ACP Zainuddin Yaakob hari ini.

Beliau menasihati mereka yang membeli senjata berkenaan daripada lelaki itu supaya menyerahkannya kepada polis bagi mengelak dikenakan tindakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun kerana memiliki sepucuk pistol palsu di dalam keretanya ketika pemeriksaan biasa di Taman Iskandar di sini Sabtu lepas.

Zainuddin berkata sebelum ini, suspek terlibat dengan satu kes berkaitan dadah.

Semalam pula, polis menahan dua lelaki berhubung kejadian memecah masuk sebuah bengkel motosikal di Kampung Bendahara Majidee di sini.

Suspek, yang berusia 28 tahun dan 31 tahun, ditangkap di sebuah rumah berhampiran bengkel berkenaan dan polis menjumpai di rumah itu pelbagai barangan curi seperti tayar, minyak pelincir dan beberapa kotak palam pencucuh.

Zainuddin berkata dua suspek itu mempunyai kaitan dengan sekurang-kurangnya 15 kes pecah rumah di bandar raya ini. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain