suria

Polis Diminta Perketat Pemantauan Di Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman meminta polis dan agensi keselamatan berkenaan supaya memperketatkan pemantauan keselamatan bagi memastikan tiada sebarang anasir menimbulkan suasana tegang berlaku di negeri ini.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri berkata, tindakan itu perlu ekoran isu penggunaan kalimah Allah yang makin hangat dibicarakan.

"Kita mesti memastikan masyarakat berbilang kaum di Sabah yang terkenal dengan semangat toleransi sentiasa berada dalam keadaan tenang dan harmoni," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri di Wisma Innoprise, dekat sini, hari ini.

Musa juga mahu semua agensi keselamatan di Sabah supaya sama-sama memantau keadaan dan jika perlu, mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Kita berterima kasih kerana Sabah sentiasa berada dalam keadaan yang baik, aman dan tenteram," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain