suria

Perlu Perbanyak Dialog Antara Agama, Kata Jamil Khir

KUALA LUMPUR: Lebih banyak dialog antara agama perlu diadakan bagi membolehkan rakyat berbilang kaum di negara ini lebih memahami mengenai kepercayaan agama yang dianuti masing-masing, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata sungguhpun dialog seumpama itu pernah diadakan namun ianya lebih bersifat berkala atau dianjurkan pada ketika tertentu.

Justeru beliau berharap Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan menganjurkan lebih banyak sesi dialog antara agama bagi memupuk semangat toleransi di kalangan penganut pelbagai agama di negara ini.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu berperanan menganjurkan dialog antara agama dari masa ke semasa bagi membantu meningkat kefahaman di kalangan penganut pelbagai agama, katanya kepada pemberita selepas Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji Bagi Musim Haji 1430H di Dewan Besar Bangunan Tabung Haji di sini, hari ini.

Ketika diminta mengulas titah Sultan Selangor yang mahu semua pihak di Selangor berpegang teguh kepada pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah selain agama Islam seperti dilaporkan dalam akhbar hari ini, Jamil Khir berkata apa yang dititahkan baginda adalah menyentuh bidang kuasa Sultan sebagai penjaga hal ehwal agama Islam. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain