suria

Perak Tubuh Jawatankuasa Penasihat Pembangunan Orang Asli

IPOH: Kerajaan negeri Perak akan menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Pembangunan orang Asli dalam usaha membela nasib dan meningkatkan taraf hidup 54,416 Orang Asli di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Perladangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Shaarani Mohamad dan dianggotai oleh wakil agensi kerajaan dan orang Asli sendiri.

"Antara anggota jawatankuasa ini adalah Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Tok Batin dan wakil suku kaum orang Asli yang ada di Perak seperti Temiar, Semai, Jahai dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri berpendapat perlu diwujudkan satu badan yang dapat membincangkan perkara bersangkutan dengan permasalahan dan perkara yang dapat membangunkan orang Asli di Perak yang membentuk 38.5 peratus daripada jumlah keseluruhan orang Asli di Malaysia.

"Kita berharap dengan penubuhan jawatankuasa penasihat ini, kita akan dapat bekerjasama dengan lebih erat dan mengenal psti masalah yang dihadapi oleh orang Asli serta seterusnya menerima pandangan dan cadangan dari orang Asli dan agensi yang berkaitan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain