suria

Najib Akan Lawat Arab Saudi, UAE Dan India

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan rasmi ke Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan India pada bulan ini.

Beliau akan melawat Arab Saudi dari 13 Hingga 16 Januari, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dari 17 hingga 19 Januari dan India dari 19 hingga 23 Januari, menurut kenyataan Wisma Putra di sini hari ini.

Lawatan Najib ke Arab Saudi adalah atas jemputan Penjaga Dua Masjid Suci Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud, manakala lawatan beliau ke UAE bagi memenuhi undangan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan sementara ke India atas jemputan Perdana Menteri negara itu Dr Manmohan Singh.

"Ini akan merupakan lawatan rasmi pertama Perdana Menteri yang diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor ke tiga-tiga negara itu sejak beliau menjadi Perdana Menteri," kata kenyataan itu.

Najib akan juga diiringi Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, beberapa menteri Kabinet, Menteri Besar dan Ketua Menteri serta pegawai kanan kerajaan.

Tujuan utama lawatan beliau adalah untuk mengeratkan hubungan persahabatan dengan para pemimpin negara-negara berkenaan, di samping meningkatkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan ketiga-tiga negara itu.

Mengenai Arab Saudi dan UAE, Malaysia, secara khusus, akan berusaha ke arah meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan kedua-dua negara itu di beberapa Koridor Pembangunan Wilayah di Malaysia, kata kenyataan itu.

Semasa kunjungan itu, Perdana Menteri dijadual menghadap Raja Abdullah, Arab Saudi dan Presiden UAE serta Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan.

Najib juga dijadual mengadakan perjumpaan dengan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE serta Pemerintah Dubai Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum dan menghadap Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohammed.

"Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Tenaga Masa Depan Dunia di Abu Dhabi pada 18 Januari," jelas kenyataan itu.

Sementara itu Perdana Menteri akan juga melakukan lawatan rasmi ke India dari 19 hingga 23 Januari untuk memperluaskan kerjasama yang ada antara kedua-dua negara.

Lawatan itu, akan juga menyediakan peluang yang cemerlang bagi kedua-dua negara untuk bertukar-tukar pandangan dan merapatkan persefahaman mengenai isu-isu kepentingan bersama dua hala, rantau dan antarabangsa.

Atur cara rasmi akan bermula pada 20 Januari di New Delhi di mana Najib akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Manmohan Singh, menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri dijadual mengunjungi Presiden India Pratibha Devisingh Patil dan Naib Presidennya Hamid Ansari serta menyaksikan majlis menandatangani beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara.

Najib dijadual melawat Chennai untuk menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Perkongsian Global CII ke-16 yang bertemakan "Perkongsian Global: Menghadapi Cabaran".

Beliau akan menghadiri Mesyuarat Meja Bulat dengan tokoh-tokoh perindustrian terpilih dan melancarkan Pameran Hartanah Malaysia.

Perdana Menteri dijadual menemui masyarakat Malaysia termasuk para peniaga dan penuntut negara ini di Chennai. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain