suria

MB Negeri Sembilan Dakwa Media Asing Cuba Sabotaj Konsep 1Malaysia

NILAI: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini berkata terdapat cubaan untuk mensabotaj konsep 1Malaysia yang mempromosikan perpaduan kaum di negara ini berdasarkan propaganda oleh media asing.

Beliau berkata sesetengah media asing telahpun mengeluarkan laporan bahawa konsep itu ditolak mentah-mentah oleh rakyat negara ini.

"Cerita penolakan ini menjadi tajuk utama di luar negara...saya yakin ini semua ada kaitan untuk gagalkan konsep 1Malaysia yang ternyata sudah mula diterima rakyat dan menyatupadukan kita," katanya ketika berucap pada perasmian Klinik 1Malaysia Taman Semarak di sini.

Beliau seterusnya menggesa masyarakat agar tidak terpengaruh dengan hasutan golongan berkenaan yang mahu melihat rakyat Malaysia berpecah belah sekali gus menggagalkan usaha mencapai status negara maju.

Mengulas mengenai klinik 1Malaysia kepada pemberita kemudian, Mohamad berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat berpendapatan rendah di bandar.

Daripada 50 klinik 1Malaysia yang dilancarkan di seluruh negara, tiga ditempatkan di negeri itu iaitu di Taman Semarak, Seremban Jaya dan Rasah Jaya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain