suria

Mahkamah Tetapkan 27 Januari Dengar Penghujahan Tengku Fakhry Mengenai Isu Kelewatan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra menjelaskan sebab beliau perlu diberikan perlanjutan masa bagi memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan Tengku Mahkota Kelantan yang menggugurkan nama beliau daripada senarai pewaris takhta.

Hakim Mohamad Ariff Md Yusof menetapkan 27 Januari ini untuk mendengar penghujahan mengenai isu sama ada Tengku Muhammad Fakhry harus dibenarkan memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman melebihi masa yang ditetapkan iaitu 40 hari mengikut Perintah 53 Peraturan-peraturan Mahkamah Tinggi.

Tengku Muhammad Fakhry memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman pada 7 Disember 2009, selepas beliau digugurkan daripada Majlis Perajaan Negeri Kelantan pada 16 September.

Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra, bertegas bahawa Tengku Muhammad Fakhry terlewat selama 82 hari untuk memfailkan permohonan itu tetapi putera itu mendakwa beliau hanya terlewat dua hari.

Beliau menegaskan bahawa permohonan itu difailkan sebaik sahaja beliau menerima surat daripada Setiausaha Majlis Perajaan Negeri Kelantan pada 26 Oktober tahun lepas.

Terdahulu, mahkamah memutuskan bahawa demi kepentingan keadilan, isu perlanjutan masa itu mesti didengar secara 'inter-parte' dengan kedua-dua pihak seharusnya dibenarkan mengemukakan hujah berhubung perkara itu.

"Mahkamah akan mendengar secara inter-parte, sama ada terdapat asas yang baik bagi permohonan untuk perlanjutan masa itu," kata Mohammad Ariff.

Beliau turut menetapkan 27 Januari untuk mendengar penghujahan daripada Tengku Muhammad Faris berhubung isu sama ada hak mutlak Tengku Mahkota berhubung pelantikan dan pembatalan anggota majlis itu boleh diadili serta diputuskan oleh mahkamah.

Tengku Muhammad Fakhry, 31, memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman untuk mengetepikan keputusan Tengku Muhammad Faris yang membatalkan pelantikan beliau daripada menganggotai Majlis Perajaan Negeri Kelantan.

Dalam permohonan itu, Tengku Muhammad Fakhry turut memohon perintah daripada mahkamah untuk mendesak Tengku Muhammad Faris supaya mengembalikan semula kedudukan beliau sebagai anggota majlis berkenaan, dan satu perintah certiorari bagi membatalkan pelantikan lima lagi anggota majlis itu.

Tengku Muhammad Fakhry, putera ketiga Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra, menamakan Tengku Mahkota, Setiausaha Majlis Perajaan Negeri Kelantan dan kerajaan Kelantan masing-masing sebagai responden pertama, kedua serta ketiga.

Lima orang lagi yang turut dinamakan sebagai responden ialah Datuk Hashim Yusoff, Datuk Tengku Salwah Sultan Yahya Petra, Datuk Sukri Mohamed, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan Kol Dr Mohammad Razin Kamarulzaman.

Peguam K.Shanmuga mewakili Tengku Muhammad Fakhry manakala Datuk Cecil Abraham bertindak bagi pihak Tengku Mahkota Kelantan dan lima responden yang lain.

Penasihat Undang-undang negeri Kelantan Azlan Abdul Halim, yang mewakili kerajaan negeri, tidak hadir. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain