suria

KPT "overhaul" Keseluruhan Sistem Pengajian Politeknik Mulai Tahun Ini

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi mengambil pendekatan drastik dengan melakukan overhaul atau membaik pulih ke atas sistem pengajian politeknik negara untuk mengikis imejnya sebagai sistem pengajian peluang kedua untuk para pelajar.

Sebagai langkah pertama, tahun ini akan menyaksikan penubuhan tiga buah politeknik perdana, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini.

Langkah seterusnya kata beliau ialah dengan menghapuskan program sijil secara berperingkat dan hanya menawarkan program diploma.

Bercakap pada majlis Amanat Tahun Baru kepada kakitangan kementeriannya, Mohamed Khaled menambah, politeknik perdana itu akan memberi fokus kepada pengkhususan bidang tertentu yang dapat membantu membangunkan industri negara.

Katanya, tahun ini bakal bakal menyaksikan pihak kementerian melaksanakan transformasi menyeluruh kepada sistem pengajian teknikal dan politeknik kelolaan Jabatan Pengajian Politeknik.

“Sebenarnya, langkah transformasi ini telah dimulakan dengan memisahkan sektor politeknik dan kolej komuniti.

“Pelan transformasi bagi pengajian politeknik yang direncanakan ini bertujuan untuk memartabatkan sektor pengajian teknikal dan politeknik negara sebagai laluan alternatif yang sama baik dan menjadi pilihan bagi para pelajar melanjutkan pengajian terutamanya di dalam bidang kemahiran dan teknikal.

“Pelan transformasi ini juga bermatlamat menghapuskan persepsi am yang selama ini mendakwa sistem pengajian politeknik hanyalah laluan peluang kedua atau “second chance” untuk para pelajar,” katanya.

Sehubungan dengan perubahan menyeluruh kepada lanskap sektor pengajian politeknik ini,

Bagi melaksanakan transformasi ini, pihak kementerian akan memfokuskan usaha bagi mempertingkatkan aksesibiliti pengajian tinggi melalui penyediaan lebih banyak tempat dan peluang melanjutkan pelajaran di dalam sistem politeknik negara.

Ini bermakna, pihak kementerian akan melaksanakan proses peningkatan dari segi kompetensi pembangunan ilmu melalui penaiktarafan secara berperingkat semua politeknik untuk menyediakan kursus bertaraf diploma dan ke atas, mengurangkan secara berperingkat program-program sijil dan kemahiran bernilai tambah rendah.

Pelan transformasi ini juga, kata Mohamed Khaled akan memartabatkan beberapa politeknik sebagai politeknik perdana bertujuan untuk memfokuskan tenaga kepakaran dan pemusatan ilmu di dalam sektor pengajian politeknik kepada bidang-bidang kepakaran atau ‘niche’ selaras dengan pembangunan industri tanah air.

Langkah ini bakal mengangkat taraf pembangunan ilmu di dalam institusi politeknik dan sektor kemahiran negara ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya yakin dengan transformasi yang telah direncana dan bakal dilaksanakan ini, ia akan melonjakkan peranan politeknik di dalam sektor pengajian tinggi negara bukan sahaja untuk memenuhi keperluan pembangunan modal insan berasaskan teknologi dan industri, malah turut berperanan membantu usaha kerajaan secara keseluruhan ke arah pembangunan model ekonomi baru yang berlandaskan ilmu dan inovasi,” ujarnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain