Kes Rampasan Cakera Padat Allah Milik Wanita Kristian 15 Mac - Semasa | mStar

Kes Rampasan Cakera Padat Allah Milik Wanita Kristian 15 Mac

KUALA LUMPUR: Permohonan seorang wanita Kristian dari Sarawak yang mencabar tindakan Kementerian Dalam Negeri merampas lapan cakera padat mengenai ajaran Kristian yang mengandungi perkataan "Allah" ditetapkan untuk sebutan pada 15 Mac ini.

Kes itu sepatutnya didengar hari ini di hadapan Datuk Mohamed Apandi Ali tetapi disebabkan beliau mempunyai perbicaraan kes lain, ia dipinda kepada sebutan bagi pengurusan kes.

Tarikh itu ditetapkan di kamar Penolong Kanan Pendaftar Nik Mohd Fadli Nik Azlan dengan kehadiran Peguam Annou Xavier yang mewakili Jill Ireland Lawrence Bill dan Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi yang mewakili defendan. Pada 15 Mac nanti, defendan dikehendaki memfailkan afidavit jawapan.

Pada 20 Ogos 2008, Jill, 27, seorang kerani, memohon perintah certiriori bagi membatalkan keputusan kementerian itu merampas cakera padat berkenaan, selain perintah mandamus bagi mengarahkan kementerian memulangkan cakera padat itu kepadanya, dan perisytiharan bahawa dia berhak menyimpan, mengguna dan mengimport bahan penerbitan mengandungi perkataan "Allah".

Wanita itu mengadu bahawa pada 11 Mei tahun lepas, kementerian merampas cakera padat berkenaan daripadanya sebaik tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah di Sepang.

Cakera padat itu mempunyai tajuk seperti "Cara Menggunakan Kunci Kerajaan Allah, Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah and Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah" dibawa masuk dari Indonesia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Artikel Lain