suria

Kes Bunuh Empat Sekeluarga: Polis Cari Beberapa Saksi

SEREMBAN: Polis kini mencari beberapa lagi saksi bagi membantu siasatan kes pembunuhan empat sekeluarga di Kampung Batang Rokam, Gemencheh, minggu lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, sehingga kini polis telah menyoal siasat 15 saksi dan yakin kes itu dapat diselesaikan tidak lama lagi.

Polis juga akan memohon tempoh reman terhadap suspek utama kes itu dilanjutkan selama tujuh hari lagi, katanya kepada pemberita pada perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Tempoh reman tujuh hari terhadap suspek berusia 34 tahun itu, yang ditahan Selasa lepas, berakhir esok.

Dalam kejadian 5 Januari lepas, empat orang terdiri daripada sepasang suami isteri warga emas serta menantu lelaki dan cucu perempuan mereka ditemui mati dalam keadaan ngeri di kampung yang terpencil itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain