suria

Ejen Tiket Didakwa Miliki Mercun Bernilai RM120,700

KLANG: Seorang ejen tiket penerbangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memiliki dan menyimpan 170 kotak berisi pelbagai jenis mercun bernilai RM120,700 di rumahnya di sini, minggu lepas.

Soh Eng Kian, 31, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Liew Horng Bin.

Dia didakwa memiliki dan menyimpan barangan larangan itu di No.15, Lorong Seri Banang, 15B, Taman Seri Andalas, di sini, pada Rabu lepas.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali ganda duti dan tidak lebih 20 kali ganda duti atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Liew membenarkan Soh dibebaskan dengan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 4 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Kastam Diraja Malaysia, Nor Haslelly Hamid sementara Soh diwakili Peguam T. Murali. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain