suria

Bakar Dewan: Mahkamah Minta Pihak Pendakwaan Dapatkan Laporan Kimia

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan hari ini diingatkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Rozana Ali Yusuff supaya segera mendapatkan laporan kimia berhubung kes lima pelajar Universiti Malaya (UM) yang didakwa cuba melakukan khianat dan menceroboh universiti itu bagi mengelakkan kes itu dibuang dan dibatalkan.

Beliau memberikan ingatan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memberitahu laporan kimia itu masih belum diterima pihak mereka sehingga hari ini walaupun kes itu telah dibawa ke mahkamah sejak enam bulan lalu.

Akibat itu, mahkamah terpaksa menangguhkan perbicaraan kes itu yang telah ditetapkan hari ini ke 14 Jun.

"Mahkamah tidak suka melengahkan perbicaraan ini kerana mahkamah tidak mahu menganggu perjalanan pembelajaran kelima-lima tertuduh yang masih belajar di tahun satu dan tiga di universiti itu," kata Rozana.

Terdahulu, Mohd Mukhzany Fari memberitahu kegagalan mengemukakan laporan kimia itu tidak disengajakan dan bukan bertujuan untuk melengah-lengahkan prosiding perbicaraan kes tersebut.

Peguam yang mewakili kelima-lima tertuduh, Mohamad Arfizi Mohd Ramli, juga bersetuju supaya perbicaraan kes itu ditangguhkan sehingga laporan itu diterima bagi membolehkan prosiding berjalan lancar dan adil.

Beliau turut memohon kepada mahkamah agar dapat memberi pelepasan untuk kesemua anak guamnya yang akan menduduki peperiksaan selama sebulan bermula April depan.

Lima pelajar dari Fakulti Akademi Pengajian Islam itu didakwa bersama-sama cuba melakukan khianat dengan api terhadap bangunan itu, mengikut Seksyen 436/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mereka juga menghadapi pertuduhan menceroboh bangunan fakulti itu mengikut Seksyen 447 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.

Mereka turut didakwa melakukan kesalahan khianat dengan menyimbah petrol di atas permaidani dan menconteng dinding dewan utama fakulti itu, mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di pintu utama dewan fakulti itu pada kira-kira 4 pagi, 24 Jun 2009. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain