suria

Pihak Hantar SMS Ugutan Boleh Dipenjara, Kata Rais

KUALA LUMPUR: Mana-mana pihak yang mengambil kesempatan menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan atau perkauman boleh dipenjara antara tiga hingga tujuh tahun di bawah Seksyen 232 atau 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata tindakan itu perlu dilaksanakan demi keselamatan dan ketenteraman masyarakat.

"Jangan ambil peluang untuk mengeruhkan keadaan. Sekiranya sebelum ini ada pihak yang mengatakan jangan gunakan undang-undang komunikasi untuk menyekat kebebasan, dalam situasi ini pandangan itu tidak relevan lagi," katanya kepada pemberita selepas pelancaran program Permata Seni Koir dan Permata Seni Muzik di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan pihak tertentu yang sengaja mengambil kesempatan berhubung isu penggunaan kalimah Allah dan insiden membaling bom petrol di tiga buah gereja dengan menyebarkan SMS palsu bagi menakut-nakutkan orang ramai.

Rais berkata beliau juga tidak mahu negara luar melihat Malaysia seolah-olah sebagai negara yang dilihat boleh bertolak ansur dalam hal-hal sedemikian.

"Sebelum berkembang menjadi bahaya, daripada sudut komunikasi, harus ada tindakan pencegahan untuk tidak membenarkan mana-mana pihak menggunakan alat-alat komunikasi untuk tujuan jahat," katanya.

Rais berkata pihak kementerian akan membantu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi memantau mesej-mesej yang berunsur hasutan itu sebelum mengambil tindakan selanjutnya. BERNAMA

Artikel Lain