suria

Peruntukan RM15 Juta Bayar Pendahuluan Perintah Nafkah

PUTRAJAYA: Kabinet meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk digunakan sebagai bayaran pendahuluan kepada mereka yang memperoleh perintah nafkah daripada Mahkamah Syariah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, peruntukan tersebut bertujuan untuk membantu isteri-isteri yang dalam proses perceraian dan tidak diberi nafkah oleh suami supaya mereka dapat meneruskan hidup dengan baik dan tidak terabai.

"Kadang-kadang para suami tidak mahu bagi nafkah selagi kes perceraian tak diputuskan oleh mahkamah, jadi kita bagi bantuan ini untuk isteri dan anak-anak membiayai perbelanjaan harian," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan agensi di bawah tanggungjawab beliau, di sini hari ini.

Jamil Khir berkata, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada masa ini sedang mengagih-agihkan peruntukan tersebut kepada negeri-negeri di seluruh negara dan dijangka dapat mula diedarkan dalam masa terdekat.

Malah katanya, ada negeri-negeri yang sudah pun memulakan langkah bantuan pinjaman tersebut dengan modal sebanyak RM100,000, dan peruntukan yang baru diluluskan itu bakal menambah modal sedia ada.

"JKSM juga disaran agar menjalankan kutipan pinjaman tersebut dengan cekap supaya tabung itu nanti tidak akan kering dan bantuan dapat dihulurkan kepada pihak yang memerlukan," katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, Jamil Khir berkata, kerajaan sedang berusaha mengadakan perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi untuk menambah kuota jemaah haji dari Malaysia, sekurang-kurangnya untuk tiga atau empat tahun akan datang, untuk menyelesaikan senarai menunggu untuk menunaikan fardu haji.

Pada masa ini katanya, kuota untuk menunaikan haji telah pun dipenuhi sehingga tahun 2020.

Beliau berkata, salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) beliau untuk tahun ini juga adalah untuk menambahkan jumlah pemohon yang berusia 50 tahun ke bawah bagi pendaftaran menunaikan haji.

"Sekarang kita (Lembaga Tabung Haji) ada 4.7 juta ahli. Kita mahu bukan sahaja penambahan ahli tetapi juga penambahan kekuatan untuk menjana dividen dan bonus sebagai pulangan kepada pendeposit dan jemaah haji," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain