suria

Pertubuhan Wanita Sambut Baik Dana Nafkah RM15 Juta

PETALING JAYA: Beberapa pertubuhan wanita menyambut baik langkah kerajaan memperuntukkan sebanyak RM15 juta untuk membantu isteri-isteri yang dalam proses perceraian yang tidak diberikan nafkah oleh suami.

Bagaimanapun, Pengurus Program (Pendidikan Awam dan Komunikasi) Sisters In Islam (SIS) Mas Elati Samani berkata, kerajaan perlu memperincikan bentuk nafkah, prosedur-prosedur dan cara penyalurannya bagi memastikan bantuan kewangan itu sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukannya.

"Adakah bantuan disalurkan menerusi kementerian wanita atau jabatan agama? Apakah pula syarat-syarat untuk memohon bantuan itu? Bagaimana pula jika si suami enggan membayar pendahuluan nafkah itu?" katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah kerajaan hari ini meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk digunakan sebagai bayaran pendahuluan kepada mereka yang memperoleh perintah nafkah daripada Mahkamah Syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, peruntukan itu diberikan supaya isteri-isteri terbabit dapat meneruskan hidup dengan baik dan tidak diabaikan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat, Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO), Datin Nursiah Sulaiman meminta kerajaan selektif dalam meluluskan bantuan kewangan tersebut.

"Dalam kes-kes tertentu, si suami itu kaya-raya tetapi enggan membayar alimoni. Jadi, bantuan sedemikian mungkin tersasar daripada golongan yang betul-betul memerlukannya.

"Jadi, langkah terbaik adalah kes perbicaraan mahkamah dilangsungkan dengan efektif. Dengan itu, perintah mahkamah kepada si suami untuk membayar alimoni dapat disegerakan," jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Ivy Josiah mencadangkan kerajaan menubuhkan agensi pengutipan nafkah daripada suami yang menceraikan isteri mereka.

Katanya, agensi tersebut yang berfungsi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dipertanggungjawabkan mengutip nafkah sebelum diagihkan kepada isteri yang diceraikan.

"WAO telah mencadangkan idea ini 10 tahun lalu. Sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan langkah itu. Apa yang lebih penting, kita perlu mengenalpastikan kenapa suami enggan membayar kerana tanggungjawab membayar nafkah adalah di tangan suami.

"Jabatan kebajikan dan pekerja sosial boleh turut memberi apa-apa bantuan bersesuaian bukan sahaja kepada isteri-isteri bahkan anak-anak," katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan turut menubuhkan dana yang sama kepada golongan bukan Islam.

Artikel Lain