suria

Penyeludup Terjun Sungai Elak Ditahan

PENGKALAN KUBOR: Seorang penyeludup sanggup menggadaikan nyawa sendiri apabila bertindak terjun ke dalam sungai apabila diserbu Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor, ketika cuba menyeludup diesel dan petrol dekat Kampung Simpangan di sini, kelmarin.

Pegawai Pemerintah PGM Pengkalan Kubor, Deputi Supritendan Tan Cheng San berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi di Pengkalan Haram Pak Mail itu, PGM berjaya merampas diesel dan petrol dalam perahu galah, yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand.

"Dalam kejadian tersebut, sepasukan anggota PGM menggunakan dua bot PGM membuat operasi Octopus 1/2010 dari Kuala Tak Bai hingga ke Kuala Pak Hitam.

"Ketika operasi tersebut, ternampak beberapa lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang mengangkat sesuatu dari dalam perahu menuju ke tebing dan setelah mereka menyedari kehadiran anggota PGM, sekumpulan lelaki tersebut kemudian melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, salah seorang tekong daripada kumpulan lelaki terbabit tidak sempat melarikan diri melalui jalan darat sebaliknya bertindak terjun ke dalam sungai dan berenang ke tebing sebelum melarikan diri ke dalam semak.

"Mungkin kerana ketakutan ditahan PGM tekong itu tiada pilihan lain dengan terjun ke dalam sungai dan meninggalkan tong-tong petrol serta diesel dalam perahu galah terbabit," katanya.

Tan berkata, hasil pemeriksaan ke atas perahu galah tersebut menemui 17 tong minyak diesel dan petrol yang setiap tongnya mempunyai isian 30 liter dan 10 liter, dengan kesemuanya bernilai RM807.

Katanya, selain diesel dan petrol itu, turut dirampas perahu galah yang ditinggalkan kumpulan penyeludup terbabit yang dianggarkan bernilai RM1,500. - BERNAMA

Artikel Lain