suria

Penyelia Sekolah Memandu Didakwa Rasuah

SHAH ALAM: Seorang penyelia sekolah memandu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan meminta suapan RM750 daripada seorang remaja lelaki sebagai dorongan untuk meluluskan ujian undang-undang berkomputer bagi mendapatkan lesen L, tiga tahun lepas.

M.Ramal, 42, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Dia didakwa meminta suapan RM750 daripada M.Gunasegaran yang semasa kejadian berumur 18 tahun di Sekolah Memandu Cemerlang, Jalan Bunga Pekan, Kawasan 6, Banting pada kira-kira jam 3 petang, 21 November 2007.

Ramal yang ditahan pada 5 Disember 2007 didakwa mengikut Seksyen 10 (a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Syafeera membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Mac untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ng Siew Wee. - BERNAMA

Artikel Lain