suria

Penjenayah Rakyat Indonesia Mati Ditembak

IPOH: Polis menembak mati tiga lelaki rakyat Indonesia yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan samun di negeri ini, Kedah, Selangor dan Johor selepas berbalas tembak di Taman Farmasi, Seri Iskandar kira-kira 55 kilometer dari sini semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkefli Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.15 petang semalam, seorang lagi anggota kumpulan itu sempat melarikan diri.

Bercakap pada sidang akhbar di sini, beliau berkata, insiden itu bermula selepas polis menerima maklumat mengenai empat lelaki yang mencurigakan berlegar menaiki sebuah kereta di taman berkenaan.

Menurutnya, pasukan polis yang menaiki dua kereta peronda mengarah suspek berhenti tetapi mereka bertindak merempuh kenderaan polis sebelum terbabas.

"Seorang daripada penjenayah terbabit keluar dari kereta dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis manakala dua lagi bersenjatakan parang cuba menyerang polis," katanya.

Beliau berkata, anggota polis yang berada di dalam kereta yang dirempuh itu tidak cedera dan segera bertindak balas.

"Tiga daripada suspek itu mati di tempat kejadian manakala seorang lagi melarikan diri ke kawasan semak berhampiran dan usaha mengesannya masih dijalankan," katanya.

Zulkefli berkata, polis menemui sepucuk pistol, sebilah keris, tiga bilah parang, enam telefon bimbit, sebuah komputer riba, tiga pasport antarabangsa, lima kelongsong peluru dan wang tunai RM1,400 dari kereta yang digunakan suspek.

Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai terbabit dalam sekurangkurangnya 13 kes samun bersenjata dengan kes terbaharu di Parit dekat sini pada Khamis yang membabitkan samun dan kecederaan terhadap seorang lelaki.

Zulkifli berkata, kumpulan itu sering mensasarkan kawasan taman perumahan yang sunyi sebelum memecah masuk atau merompak mangsa.

Dalam perkembangan lain, polis kini mengesan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung rompakan wang tunai berjumlah RM500,000 dari sebuah premis agensi nombor ramalan di Bercham, di sini 28 Disember lepas.

Mereka ialah Tajul Hakma Abdullah, 35, Muhammad Husaini Abdullah, 49, dan Mohamad Rasdi Abdullah, 44. Kesemua mereka berasal dari sini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tiga lelaki itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak melalui nombor telefon 05-2451222 untuk membantu siasatan.

Dalam rompakan pada jam 2 petang itu, polis menahan dua lelaki manakala tiga lagi melarikan diri.

Siasatan polis mendapati penjenayah terbabit telah melakukan 22 kes samun dengan melarikan wang tunai bernilai RM3.2 juta sepanjang tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain