suria

NGO Islam Pantau Keselamatan Gereja

KUALA LUMPUR: Sukarelawan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam telah mula memantau dan mengawasi kawasan gereja di sekitar Lembah Klang.

Seramai 10 sukarelawan telah melakukan rondaan dari jam 11 malam tadi di kawasan gereja yang terletak di sekitar kawasan Kampung Pandan dan Brickfields.

Timbalan Yang Dipertua dan Setiausaha Kerja Badan Tarbiah Sejagat (Batas), Danny Azar berkata, jadual rondaan diatur sebanyak dua kali iaitu dari jam 11 malam sehingga 2 pagi dan 4 pagi sehingga waktu subuh. "Setakat ini pihak kami telah mula meronda dan kami bukan setakat singgah malahan juga berjumpa pihak gereja dengan mengenalkan diri kami," katanya.

Batas ialah antara 130 NGO yang telah menyatakan komitmen semalam untuk menjadi "mata dan telinga" kerajaan dalam menangani sebarang ancaman ke atas rumah ibadat penganut agama Kristian.

Langkah itu diambil ekoran tiga insiden cubaan membaling bom buatan sendiri di tiga gereja iaitu di Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Gereja Assumption di Petaling Jaya dan Gereja Life Chapel di Damansara baru-baru ini.

Antara NGO lain yang terlibat ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Pertubuhan Peribumi Semenanjung (Perkasa), Darussyifa, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Islamic Information and Services Foundation (IIS).

Inisiatif itu dilaporkan telah mengumpulkan seramai 60 sukarelawan bagi menjalankan pengawasan dan pemantauan di kawasan gereja sekitar Lembah Klang mulai semalam.

Sementara itu, ahli Gereja Katolik Holy Rosary di Brickfields, Angelina Soo, 28, berkata, pihaknya berterima kasih kepada pihak NGO Islam dan menghargai tangggungjawab serta keprihatinan mereka dalam menjamin keselamatan dan kesejahteraan tempat ibadat itu. - BERNAMA

Artikel Lain