suria

Keadaan Adalah Terkawal, Kata Najib

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa keadaan di negara ini adalah terkawal disebalik beberapa cubaan membakar gereja kerana kejadian itu tidak melibatkan kumpulan individu yang besar.

"Majoriti rakyat Malaysia adalah amat sederhana dan cintakan keamanan manakala keganasan tidak pernah dikaitkan dengan soal amalan beragama di negara ini.

"Malahan pengenalan agama Islam dibuat melalui cara yang aman," katanya semasa ditemu bual sekumpulan 10 wakil media dari India yang dalam rangka lawatan ke negara ini, di pejabatnya di sini hari ini.

Perdana Menteri ditanya sama ada cubaan membakar gereja baru-baru ini merupakan trend yang ditiru atau sama dengan apa yang bermula di Pakistan tujuh tahun lepas.

"Kami begitu dirahmati. Kami berharap dan akan melakukan yang terbaik untuk mengekalkan hubungan harmoni yang terjalin di antara pelbagai etnik dan kumpulan agama di negara ini.

"Kami akan mengambil tindakan terhadap sebarang bentuk ekstremisme yang dilakukan oleh sesiapa atau mana-mana kumpulan."

Mengenai sama ada amalan sekular di negara ini akan diubah selepas ini, Najib menjawab: "Kami mampu mengawal keadaan. Kami berupaya menguruskannya.

"Malahan, tahap ketegangan telah semakin reda. Rasa kecewa yang ditunjukkan selepas solat Jumaat di masjid-masjid adalah agak minimal dan terkawal."

Untuk mengatakan tahap ketegangan telah memuncak berikutan keputusan mahkamah berhubung penggunaan kalimah Allah sebenarnya telah diperbesarkan kerana kejadian (serangan ke atas gereja) merupakan reaksi yang hanya membabitkan sekumpulan kecil individu, kata Najib.

Sementara itu, menurut kenyataan Kementerian Luar, terdahulu wakil media India itu mengadakan perjumpaan dengan Menterinya Datuk Seri Anifah Aman di Wisma Putra dan dengan beberapa menteri Kabinet yang lain.

"Lawatan wakil media India ke Wisma Putra memberikan peluang besar kepada Menteri Luar untuk bertukar pandangan dengan kumpulan itu mengenai isu-isu penting kepada Malaysia.

"Ini termasuk dasar luar Malaysia terhadap hubungan dua hala dan kerjasama dengan India di forum serantau dan antarabangsa, harapan daripada lawatan akan datang perdana menteri ke India dan perkara-perkara lain kepentingan bersama membabitkan kedua-dua negara," menurut kenyataan itu.

Najib dijadual melakukan lawatan rasmi ke republik itu awal minggu depan untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara. BERNAMA

Artikel Lain