suria

Bakar Gereja: Polis Bersikap Telus

PUTRAJAYA: Polis akan bersikap telus dan tidak akan menyembunyikan apa-apa maklumat berhubung serangan ke atas gereja di ibu negara baru-baru ini, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Menurut Ismail, orang ramai boleh mendapat dan mengesahkan maklumat yang diterima daripada pusat kawalan polis yang beroperasi 24 jam sehari di seluruh negara.

"Tolong gunakan pusat kawalan negara, pusat kawalan negeri dan pusat kawalan daerah untuk mengesah dan mendapat maklumat.

"Saya ingin ingatkan semua pihak agar jangan dengar berita-berita yang tidak sah, cakap mulut, cakap-cakap melalui telefon. Kita perlu lebih matang dalam menangani keadaan di dalam negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri pertemuan dengan perwakilan asing di Malaysia di Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.

Ismail berkata, tahap keselamatan negara masih terkawal dan pihak polis akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa.

"Ketua Polis Negara (Tan Sri Musa Hassan) telah mengeluarkan arahan kepada semua pegawai polis di setiap daerah supaya menggunakan kereta peronda untuk melawat semua gereja, surau dan masjid bagi memastikan keadaan baik dan terkawal seperti sedia kala.

"Kita akan teruskan pemantauan ini dari semasa ke semasa dan rakyat boleh menjalankan aktiviti masing-masing seperti biasa.

Ditanya sama ada tangkapan sudah dibuat terhadap pihak yang terbabit, beliau berkata tangkapan belum dibuat dan polis sedang menyiasat dengan teliti kes berkenaan.

"Kami terima banyak maklumat. Semua maklumat perlu diikuti dengan proses siasatan, pengesahaan dan sebagainya,” katanya.

Artikel Lain