Tempoh Reman Amah Bakar Rumah Dilanjutkan - Semasa | mStar

Tempoh Reman Amah Bakar Rumah Dilanjutkan

KUALA TERENGGANU: Tempoh tahanan reman seorang pembantu rumah warga Indonesia yang membakar rumah majikannya di Taman Murni Indah, Telaga Daing di Seberang Takir dekat sini dilanjutkan sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Supritendan K. Manoharan berkata, pembantu rumah terbabit, Dinda Kiara Tiara Eiragu yang berasal dari Medan telah dibawa ke Mahkamah Majistret di sini bagi melanjutkan tempoh tahanan reman terhadapnya.

"Hari ini juga kita bawa pembantu rumah itu ke hospital untuk mengenal pasti umurnya yang sebenar melalui pengenalan gigi kerana kita yakin umur amah berkenaan bukan 18 tahun seperti yang tercatat pada pasportnya.

"Sekiranya didapati berumur kurang daripada 18 tahun, kita akan mendapatkan kerjasama daripada kedutaan Indonesia supaya mengambil tindakan terhadap ejen yang menghantar remaja berkenaan bekerja di sini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian Sabtu lepas, pembantu rumah itu telah membakar beberapa helai cadar dan selimut di atas tilam dalam bilik tidur anak majikannya sebelum melarikan diri setelah dipercayai tidak berpuas hati selepas dimarahi majikannya.

Dalam perkembangan lain, Manoharan berkata, polis masih mengesan beberapa lagi suspek yang terlibat dalam rompakan kedai emas melibatkan kerugian RM900,000 pada 9 Disember lepas setelah berjaya menahan tiga daripada suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita warga asing, Khamis lalu.

"Kita percaya kumpulan itu juga bergerak di negeri-negeri lain dengan cara yang sama dan kita sedang menjejaki sakibaki kumpulan berkenaan," katanya.

Tiga suspek berasal dari Mexico, Sepanyol dan Guatemala itu berjaya ditahan di satu lokasi kawasan bandar hasil maklumat orang awam.

"Dengan tertangkapnya tiga suspek berkenaan, kita yakin dapat menyelesaikan kes rompakan di kedai emas berkenaan yang melibatkan warga asing," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Suami Isteri Ditahan Bantu Kes Bunuh

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain