suria

Polis Tahan 74 Kereta Ubahsuai Tanpa Kebenaran

BUTTERWORTH: Hasrat 74 pemandu kereta untuk menunjukkan kejaguhan masing-masing dengan berlumba dan melakukan aksi berbahaya seperti drift di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini tidak kesampaian apabila ditahan dalam satu serbuan awal pagi ini.

Lebuh raya berkenaan yang menjadi antara 'litar' kegemaran mat rempit dan pemandu kereta untuk berlumba haram serta menunjukkan aksi mula dibanjiri lebih 100 buah kereta pada kira-kira pukul 11 malam.

Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Supt Wan Aziz Wan Husin berkata sebaik sahaja 'pusingan' pertama dimulakan, polis yang melakukan kepungan bertindak menutup laluan berkenaan menyebabkan 74 pemandu kereta terbabit terpaksa berputih mata.

Katanya pihaknya bersama beberapa jabatan penguat kuasa lain membuat perancangan selepas menjalankan intipan dan risikan sejak seminggu lepas mengenai perlumbaan kereta diadakan di lebuh raya itu.

"Ops Bersepadu itu turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kekuatan 51 anggota termasuk polis trafik negeri," katanya di sini hari ini.

Wan Aziz berkata pemandu-pemandu kereta berkenaan tidak menyedari bahawa pasukan operasi sudah berada situ sejak awal lagi dan kedua-dua laluan masuk dan keluar lebuh raya berkenaan telah dikepung.

"Sebaik sahaja perlumbaan dimulakan, kita mengambil tindakan menutup semua laluan dan menahan mereka yang berusia lingkungan 20an itu," katanya.

Dalam operasi bermula puku 12 hingga 5 pagi itu, 74 buah kereta yang ditahan diperiksa kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya ubahsuai kenderaan dan tukar enjin tanpa didaftar.

Beliau berkata arahan turut dikeluarkan kepada kenderaan yang telah diubahsuai untuk menjalani pemeriksaan JPJ.

"Dalam operasi itu, kita turut menyita sebuah kereta kerana menggunakan cukai jalan palsu dan JAS juga mengeluarkan 10 saman," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain