suria

IPTS Gagal Sedia Kursus Penuhi Permintaan Pelajar Asing

KUALA LUMPUR: Kebanyakan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di negara ini gagal menyediakan kursus yang menepati permintaan pelajar asing, sebaliknya hanya menawarkan kursus mudah yang kurang digemari, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sehubungan itu, beliau menyarankan IPTS agar memberi perhatian dalam penyediaan kursus yang mampu menepati kehendak pasaran pelajar asing seperti bidang kejuruteraan supaya sasaran 75,000 kemasukan pelajar asing pada tahun ini dapat dicapai, lebih tinggi daripada 70,000 pelajar asing tahun lepas.

"Kita lihat kini banyak kolej swasta menyediakan kursus-kursus mudah seperti Pentadbiran Perniagaan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Sains Sosial yang kurang mendapat permintaan daripada pelajar asing.

"Sebenarnya mereka yang datang menuntut di sini banyak membuat permintaan untuk menuntut dalam bidang kejuruteraan di politeknik tetapi kita sedia maklum bahawa politeknik kita menerima kira-kira 120,000 permohonan setiap tahun dan itu pun hanya boleh diisi oleh 30,000 penuntut dalaman sahaja," katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah Biasiswa Tabung Pendidikan Star 2010 kepada 46 IPTS di sini, hari ini.

Biasiswa bernilai RM13.8 juta itu dianugerahkan kepada 46 IPTS tempatan dan luar negara dan antara penerimanya ialah Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing, Kolej Otomotif, Universiti Nottingham (Kampus Malaysia) dan Universiti Kolej Kejururawatan Antarabangsa.

Mengenai isu guru ijazah pendidikan yang gagal mendapat penempatan mengajar, Mohamed Khaled berkata, ia dapat diselesaikan jika ada pengunjuran yang tepat antara Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi.

"Isu ini boleh selesai jika ada kesefahaman antara dua kementerian ini di mana jika Kementerian Pelajaran bagi unjuran yang tepat kepada pihak kami untuk keluarkan graduan yang cukup, kami beri jaminan tidak akan keluarkan graduan dalam bidang pendidikan secara berlebihan.

"Jadi diharapkan kedua-dua pihak dapat mantapkan lagi unjuran ini supaya masalah ini dapat diselesaikan di antara kementerian, tidak melalui media massa," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain