suria

TLDM Perkenal Enam Strategi Baru

KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memperkenalkan enam strategi baru bagi menjadikan pasukan itu sebagai satu organisasi yang berkualiti dan disegani sepanjang tahun ini.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Datuk Sri Abdul Aziz Jaafar berkata keenam-enam strategi itu terkandung dalam Pelan TLDM 2010 yang bakal dilaksanakan secara berperingkat sepanjang 2010.

"Saya menyeru kepada semua warga TLDM untuk mempamerkan hasil kerja yang berkualiti dengan memberi fokus kepada enam strategi untuk menjadikan TLDM sebuah organisasi yang lebih disegani dan berkualiti pada tahun ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata enam strategi yang diperkenalkan itu ialah kesiagaan aset TLDM, memperkasakan kesediaan sumber, menambahbaik pengurusan modal insan, menambah baik pengurusan rangkaian bekalan, meningkatkan pengurusan selenggaraan dan membangunkan modal insan.

"Pelan Tentera Laut ini dirumus dan dibangunkan berasaskan metodologi Kad Skor Terimbang yang telah diguna pakai oleh TLDM sejak 2003 lagi.

"Pelaksanaan Pelan tentera laut ini akan membolehkan TLDM mengukur sejauh mana pencapaian prestasi organisasi dan individu melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dengan menggunakan Kad Skor Terimbang," katanya.

Abdul Aziz berkata TLDM telah diberi pengiktirafan apabila menerima sijil Occupational Health and Safety Management System (OSHAS 18001:2007), tahun lepas.

"Buat pertama kali dalam sejarah pengurusan kualiti ATM, tiga buah unit TLDM iaitu kapal KD DUYONG, Markas Udara TLDM dan Depot Senggara Armada telah diiktiraf dengan persijilan OSHAS.

"Dengan pelbagai kejayaan yang dicapai TLDM sepanjang tahun 2009, saya mengucapkan terima kasih dan syabas kepada warga TLDM atas sumbangan yang telah diberikan," tambah Abdul Aziz. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain