suria

Polis Dipuji Atas Tindakan Pantas Dalam Insiden Serangan Gereja

PETALING JAYA: Tindakan pantas pasukan polis dalam suasana genting menghadapi tiga insiden serangan membakar gereja dengan sengaja di Lembah Klang awal pagi semalam mendapat pujian pihak gereja.

Ketua Padri Gereja Assumption di sini, Rev.Phiilip Muthu, salah sebuah gereja yang dilontar koktel molotov, berkata beliau memanggil Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Musa Hassan sebaik sahaja kejadian itu berlaku.

"Pagi ini sebaik sahaja insiden itu berlaku, saya menelefon IGP dan dia segera merujuk saya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

"Pihak polis memberi kerjasama yang baik sekali dan mereka datang dengan segera dan melakukan siasatan secara terperinci," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada pihak polis.

Gereja tersebut tidak mengalami kerosakan kerana koktel molotov yang dilontarkan ke atas permukaan berturap di hadapan gereja itu tidak meletup, katanya.

Rev. Phiilip berkata beliau berharap polis dan kerajaan akan meningkatkan kawalan keselamatan di gereja dan rumah ibadat lain.

Katanya beliau bimbang kerana kira-kira 6,000 penganut akan hadir untuk mengikuti sembahyang pada Ahad ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, yang melawat gereja itu, juga turut bangga dengan respon polis dan memuji tindakan baik pasukan keselamatan itu.

Kumpulan 'National Evangelical Christian Fellowship (NECF) Malaysia juga memuji pasukan polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Walaupun, sehingga ini, belum ada kecederaan dilaporkan namun kami mahu memuji tindakan pantas yang diambil oleh polis dan Jabatan Bomba.

"Kami harap dengan siasatan menyeluruh, polis akan segera membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan," kata NECF dalam kenyataan itu.

Selain Gereja Assumption, Gereja Life Chapel, juga di sini dan Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur, menjadi sasaran serangan koktel molotov.

Bagaimanapun, lontaran koktel molotov ke atas Gereja Metro Tabernacle menyebakan letupan disusuli kebakaran. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain