suria

Pengurus Cawangan Bank Mati Ditikam Depan Lif

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus cawangan sebuah bank maut selepas ditikam seorang lelaki ketika sedang menunggu lif di Pangsapuri Lagoon Perdana dekat Bandar Sunway malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu, Andy Teoh, 48, ditikam pada bahagian belakang badannya sebelum mukanya dilibas dipercayai menggunakan pisau celoret oleh lelaki berusia 30an.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Omar Mammah berkata sebelum kejadian, Andy bersama isterinya yang berusia 38 tahun baru pulang dari menikmati makan malam di pusat membeli belah Sunway Pyramid sebelum diserang suspek.

"Ketika mangsa dan isterinya menunggu lif di tempat letak kenderaan tingkat bawah pangsapuri terbabit, mangsa tibatiba diserang oleh lelaki tidak dikenali namun dia tidak mengapaapakan isteri mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata dalam keadaan cedera parah akibat ditikam, Andy cuba menyelamatkan diri dengan berlari kirakira 80 meter dan lelaki terbabit mengejarnya.

Omar berkata isteri Andy yang tergamam dengan kejadian itu mengekori mereka dan menjerit meminta tolong, manakala suspek melarikan diri setelah melihat Andy rebah dan mati di tempat kejadian.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa dan isterinya tidak mengenali suspek kerana ketika mereka menuju ke lif sebaik keluar dari kereta, mereka terlihat suspek namun tiada sebarang reaksi yang ditunjukkan keduadua mereka.

"Motif pembunuhan mangsa yang bertugas di Damansara itu masih dalam siasatan dan kami menolak ia bermotif samun memandangkan tiada barangan mangsa dilarikan," katanya.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati sekitar lif serta kawasan meletak kenderaan di tingkat bawah pangsapuri berkenaan tidak dilengkapi CCTV dan pihaknya juga sedang menyiasat bagaimana suspek boleh melepasi kawalan keselamatan pangsapuri terbabit.

Mangsa yang fasih berbahasa Malaysia difahamkan seorang yang peramah dan tidak mempunyai musuh serta telah berkahwin sejak lima tahun lepas dan tidak mempunyai anak.

Dalam kejadian lain, seorang lelaki Indonesia maut setelah lehernya dijerut dengan tali dan kepalanya diketuk dengan objek keras oleh sekumpulan lelaki dipercayai kerana mempunyai hubungan sulit dengan isteri seorang daripada suspek.

Omar berkata kerana cemburu isterinya bermain kayu tiga, lelaki itu bersama tiga rakannya sanggup membunuh mangsa yang bekerja sebagai konduktor bas dan menimbus mayat mangsa di Taman Damai Utama malam tadi.

Beliau berkata empat lelaki berusia antara 30 dan 40 tahun itu ditahan kirakira pukul 3 pagi dan hasil sisatan terhadap mereka, mayat konduktor bas itu ditemui selepas kerja menggali dilakukan kira-kira pukul 7 pagi.

"Pemeriksaan awal mendapati, mangsa yang mati itu mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat diketuk dengan objek keras dan di leher mayat itu turut terdapat kesan jerutan kuat akibat tali yang digunakan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain