suria

Lelaki Cuba Serang Polis Cedera Ditembak

PULAU PINANG: Seorang lelaki yang dipercayai mabuk dan cuba menyerang dua anggota polis pelancongan dengan sebilah parang ditahan setelah cedera akibat tembakan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supt Mohamad Nashir Ya berkata dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam semalam di Jalan Stewart di sini, polis terpaksa melepaskan tembakan terhadap lelaki berkenaan yang sebelum itu terlibat dalam satu pergaduhan.

Katanya lelaki berusia 49 tahun itu cedera di bahagian paha kanan akibat terkena satu das tembakan dan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Siasatan awal polis mendapati, lelaki yang sedang menikmati minuman keras di sebuah kedai berhampiran, tiba-tiba bertindak menyerang seorang lelaki lain di situ.

"Lelaki yang diserang dengan parang cedera pada tangan kanan dan kemudiannya melarikan diri sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran," katanya kepada pemberita di sini.

Mohamad Nashir berkata dua anggota polis pelancong yang sedang bertugas dan secara kebetulan melihat kejadian itu, cuba mententeramkan keadaaan tetapi lelaki terbabit berdegil dan mahu menyerang polis.

"Polis pada mulanya melepaskan satu das tembakan ke udara sebagai amaran tetapi lelaki terbabit masih berdegil dan disebabkan itu satu lagi das tembakan terpaksa dilepaskan, yang mengenai bahagian paha lelaki itu," kata beliau.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain