suria

KPN : Polis Minta Gereja Adakan Kawalan Keselamatan Sendiri

KUALA LUMPUR: Polis menasihatkan supaya semua gereja mengadakan kawalan keselamatan masing-masing dibantu pihak berkuasa ekoran insiden empat gereja dibakar baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, ini kerana polis tidak mempunyai bilangan pegawai yang mencukupi untuk mengawasi kira-kira 200 gereja di Lembah Kelang.

“Di Petaling Jaya sahaja, kita mempunyai 62 gereja. Saya tidak mempunyai bilangan pegawai yang mencukupi untuk diletakkan di setiap gereja.

“Polis juga perlu memantau masjid-masjid dan gereja-gereja. Kami juga mengawasi tempat-tempat beribadat yang lain,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melawat gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati di sini hari ini.

Musa memberitahu, setakat ini, polis masih menyiasat kes-kes bakar gereja terbabit.

Katanya, terdapat empat kes gereja dibakar selepas polis menerima laporan keempat berhubung insiden bakar gereja petang tadi.

Sementara itu, Musa berkata, beliau menerima 900 panggilan dan 800 khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung dengan gereja tersebut.

Sebelum ini, beliau mendedahkan nombor telefon mudah alihnya kepada orang ramai untuk memudahkan memberikan maklumat penting berhubung kes-kes tersebut.

“Saya memperolehi banyak maklumat daripada pihak awam. Sesetengahnya adalah maklumat berkaitan jenayah. Sesetengah berterima kasih kepada pihak polis. Ada juga main-main. Mereka telefon tetapi diam sahaja,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat apa-apa petunjuk dalam siasatan polis setakat ini, Musa berkata: “Kita sedang menyiasat, Insya-Allah ada lead (petunjuk).”

Tambahnya, polis masih belum mengenalpastikan bangsa suspek tetapi saksi masih membantu polis.

Katanya, siri serangan terhadap gereja-gereja itu dilakukan oleh kumpulan berbeza kerana masing-masing mempunyai modus operandi berbeza.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain