suria

Jangan Buat Kesimpulan Sendiri Mengenai Isu Gereja

KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin politik hari ini meminta orang ramai supaya jangan membuat kesimpulan sendiri mengenai pihak yang bertangggungjawab di sebalik insiden melempar bom petrol di tiga buah gereja di Lembah Klang semalam.

Sebaliknya mereka meminta semua pihak supaya menyerahkan perkara itu kepada polis untuk menjalankan siasatan dan seterusnya mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu.

Timbalan Presiden MIC Datuk G.Palanivel berkata keadaan sekarang ekoran insiden itu, hendaklah ditangani dengan berhati-hati dan semua pihak diminta bertenang dan jangan menjadikan insiden itu sebagai satu krisis.

"Kita janganlah membuat kesimpulan. Bertenang dan tunjuk arah yang betul merupakan petanda tinggi kepimpinan. Saya gembira dengan cara pemimpin tertinggi kita mengendalikannya dengan meminta agar semua bertenang dan harmoni.

"Semua perkara boleh ditangani jika ada ketenangan dan harmoni serta mengendalikan isu itu dengan sempurna. Isu itu jangan diperbesar-besarkan. Malah media memainkan peranan bertanggungjawab dalam isu ini," katanya kepada Bernama.

Menteri Tenaga, Teknologi dan Air, Datuk Peter Chin berkata rakyat tidak seharusnya melakukan perbuatan yang melulu dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untu mencari jalan penyelesaian.

"Saya kesal setiap kali isu-isu (agama dan perkauman) ditimbulkan kita melihat ada sahaja sekumpulan kecil yang bertindak agak ekstrim dalam tindakan mereka," katanya di Miri, Sarawak.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata biarlah polis membuat siasatan dan seterusnya memberkas mereka yang bertanggungjawab serta dalangnya.

Beliau juga meminta semua pihak supaya menerima titah Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menyeru agar rakyat menghormati tempat-tempat ibadat di negara ini.

"Titah Baginda itu menepati kehendak rakyat dan saya fikir kita harus menghormati rumah ibadat termasuk kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Pembangunan Usahawan Melayu anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia di Muar, Johor. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain