suria

Ibu Bakar Diri Kerana Kecewa Sikap Anak Gadisnya

NIBONG TEBAL: Seorang ibu tujuh anak bertindak mencurah petrol ke badan sebelum membakar diri di rumahnya di Jalan Hutan Lipur di sini awal hari ini ekoran kecewa dengan sikap salah seorang anak gadisnya yang degil.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafien Mamat berkata dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah malam, mangsa yang berusia 33 tahun dan bekerja sebagai pembantu kedai makan di sini, melecur 54 peratus di bahagian badan.

Beliau berkata kejadian itu berlaku ketika wanita itu sedang menasihati anak perempuannya berusia 15 tahun yang degil dan kerap tidak pulang ke rumah.

"Mangsa turut meluahkan perasaan dan menceritakan bahawa masalah yang ditimbulkan anaknya yang masih bersekolah itu telah menyebabkan dia menghadapi tekanan perasaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Shafien berkata mangsa yang ketika itu terlalu emosi bertindak keluar dari rumah lalu mencurah petrol ke badan sebelum menyalakan lilin dan membakar dirinya.

"Kejadian itu berlaku dengan pantas, bagaimanapun mangsa bernasib baik kerana berjaya diselamatkan oleh anggota keluarganya termasuk suaminya yang berada di rumah," katanya.

Menurut Shafien wanita itu yang melecur dari dahi hingga ke pusat dihantar ke Hospital Sungai Bakap di sini sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah untuk rawatan lanjut.

"Ibu tujuh anak berusia dari dua hingga 17 tahun itu terpaksa dihantar ke HSB untuk rawatan lanjut kerana hospital berkenaan mempunyai unit khas untuk rawatan melecur," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku ekoran mangsa mengalami tekanan perasaan dan dihimpit masalah kemiskinan keluarga.

Siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis menyiasat kes berkenaan menurut Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh diri, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain