suria

Guan Eng Sedia Bincang Dengan Pemimpin Umno

BUTTERWORTH: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sedia berjumpa dan mengadakan perbincangan dengan manamana pemimpin Umno bagi menyelesaikan masalah penduduk di Kampung Baru Rumah Hijau Bagan, Mak Mandin di sini.

Beliau berkata perbincangan itu bertujuan mencari jalan penyelesaian yang terbaik kepada penduduk memandangkan kontrak perjanjian bagi pembinaan rumah mewah di kampung terbabit berlaku semasa negeri ini di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke beberapa buah rumah penduduk kampung terbabit, katanya masalah itu juga akan selesai sekiranya Umno boleh membayar ganti rugi dan kos pecah kontrak kepada pemaju yang berjumlah RM15 juta kepada kerajaan negeri.

Selain itu, Lim juga berjanji memberikan RM1,000 setiap keluarga bagi bayaran perpindahan.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Penduduk A. Tamil Salvan berkata terdapat hanya 70 keluarga yang masih tinggal di kampung itu yang enggan berpindah atas alasan tertentu dan mereka hanya mahu diberikan seunit rumah kos rendah bagi setiap keluarga sebagai ganti rugi.

"Sebagai penduduk kami juga ada hak dan kami tidak menuntut bayaran ganti rugi yang terlalu tinggi, kami juga berharap semua pihak termasuk kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan pemaju dapat bekerjasama dalam menyelesaikan masalah ini," katanya.

Isu berhubung Kampung Baru Rumah Hijau Bagan timbul apabila kerajaan negeri memerintahkan lebih 200 keluarga berpindah ke pangsapuri Ampang Jajar berikutan kawasan itu akan dibangunkan dengan perumahan mewah.

Tapak tanah kampung terbabit telah diswastakan untuk tujuan pembangunan rumah mewah sejak lima tahun lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain