suria

Suri Rumah Didakwa Beri Keterangan Palsu

KUANTAN: Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap tuduhan memberi keterangan palsu ketika menjadi saksi perbicaraan satu kes dadah.

Suriani Che Samsudin, 20, didakwa memberi keterangan palsu semasa peringkat pemeriksaan utama sebagai saksi pendakwaan kesembilan berhubung satu kes mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali di Mahkamah Sesyen di sini, pada jam 10 pagi semalam.

Dia mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Suriani yang mengandung enam bulan anak ketiganya, didakwa mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Nordiana Abd Aziz memerintahkan ikat jamin sebanyak RM2,500 dengan dua penjamin serta menetapkan 24 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Suriani diwakili peguam Bob Arumugam manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Jumaat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain