suria

PGM Rampas 4,000 Liter Diesel

TAWAU: Pasukan Gerakan Marin (PGM) merampas 4,000 liter diesel selepas menyerbu sebuah ladang kelapa sawit di Sungai Barantian di sini semalam.

Pegawai Pemerintah PGM Tawau, Deputi Supritendan Husaini Zainal Abidin berkata, serbuan lima anggota PGM yang diketuai Cif Inspektor Sani Busu menyerbu ladang itu pada kira-kira jam 1.10 petang selepas mendapat maklumat daripada orang ramai.

"Hasil pemeriksaan, kami menemui sebuah tangki penyimpanan minyak diesel berisi kira-kira 4,000 liter berserta satu unit pam dan hos. Sebuah lori minyak turut berada di kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, pemilik tempat penyimpanan minyak itu dipercayai tidak memiliki permit atau lesen untuk menyimpan minyak diesel.

Katanya, pemeriksaan awal juga mendapati pemandu lori minyak, seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun yang ditahan di ladang itu disyaki terbabit secara aktif mengangkut dan menjual minyak diesel di kawasan tersebut.

Selain pemandu lori, Husaini berkata, penjaga ruang penyimpanan minyak, seorang warga asing berusia 26 tahun, turut ditahan bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain