suria

Kepala Mangsa Bunuh Selamat Dikebumikan

TAMPIN: Kepala salah seorang mangsa pembunuhan di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Selasa lepas, selamat dikebumikan bersebelahan kuburnya di tanah perkuburan Islam kampung itu, hari ini.

Kepala Ismail Awang dikebumikan kira-kira jam 1.30 petang tadi dengan dihadiri kira-kira 20 orang termasuk ahli keluarga, penduduk kampung dan pihak media.

Sebelum itu, kepala Ismail dituntut oleh ahli keluarganya dari bilik mayat Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) kira-kira jam 12.05 tengah hari setelah selesai dibedah siasat.

Kepala Ismail ditemui di tanah perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, kelmarin dan dibawa ke HTJS untuk bedah siasat dan ujian DNA.

Suspek utama dalam kejadian itu, Rashidi Ismail, 34, yang juga anak Ismail ditahan di Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur kira-kira jam 4 petang kelmarin dan kini ditahan reman seminggu untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian Selasa lepas, mangsa Atan Daud, 90, yang juga bekas imam masjid Kampung Batang Rokan ditemui mati dengan tangan kirinya putus.

Isterinya, Sufiah Katas, 80, pula putus tangan kanan, manakala menantu pasangan itu, Ismail Awang, 76, ditemui tanpa kepala. Anak Ismail, Siti Khadijah, 22, pula ditemui mati dengan pisau tercacak pada dadanya.

Mayat mereka ditemui berlumuran darah di dua buah rumah yang terletak bersebelahan. Jenazah kesemua mangsa selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Islam kampung berkenaan selepas solat Maghrib malam kelmarin.

Sementara itu, isteri mangsa (Ismail), Zahara Atan, 59, yang ditemui pemberita berkata, beliau berterima kasih kepada semua pihak kerana telah menyempurnakan pengebumian ahli keluarganya.

"Saya juga berterima kasih kepada pihak polis dan jiran yang banyak membantu menguruskan pengebumian dengan sempurna dan cepat. Saya bersyukur kerana semuanya selesai dengan cepat," katanya yang masih lagi kelihatan sugul dengan kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain