suria

Jabatan Kesihatan Serbu Klinik Tanpa Lesen

PULAU PINANG: Sebuah klinik di Bukit Mertajam di sini diserbu dan diperintah menghentikan operasinya oleh Jabatan Kesihatan negeri hari ini kerana tidak mempunyai lesen.

Jurucakap jabatan itu berkata, semasa diserbu, klinik di Lorong Bukit Kecil Indah itu juga didapati dikendalikan kakitangan yang tidak bertauliah.

"Orang yang mengurusnya dan mengaku sebagai doktor, juga gagal menunjukkan Sijil Amalan Tahunan yang wajib dimiliki semua doktor di Malaysia.

"Kes ini diklasifikasikan di bawah Akta Penjaga Kesihatan, Kemudahan dan Perkhidmatan Swasta 1998 (Akta 586) yang menyebut bahawa menjadi suatu kesalahan bagi manamana kilinik beroperasi tanpa lesen," katanya.

Beliau berkata, para pegawai jabatan itu juga merampas beberapa dokumen dan peralatan perubatan dari klinik itu sebelum membuat laporan polis petang ini.

Klinik itu dipercayai mula beroperasi beberapa bulan lepas dan mendakwa memiliki kepakaran dalam rawatan kulit.

Katanya, klinik berkenaan pernah dinasihati jabatan berkenaan supaya mendapatkan lesen untuk menjalankan operasinya.

Beliau menasihati orang ramai supaya mendapatkan rawatan di klinik dan hospital bertauliah bagi mengelak kejadian yang tidak diingini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain