suria

Harga Makanan, Minuman Dijamin Tidak Naik

PUTRAJAYA: Industri pengeluar makanan dan minuman bergula, serta persatuan pengusaha restoran seluruh negara memberi jaminan tidak akan menaikkan harga makanan dan minuman ekoran kenaikan harga gula baru-baru ini.

Jaminan itu diberi dalam pertemuan dengan 50 wakil industri dan persatuan itu dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, dengan jaminan itu, harga makanan dan minuman berkaitan gula seperti roti manis, kek dan susu pekat tidak akan dinaikkan dalam waktu terdekat kecuali disebabkan faktor lain seperti kenaikan harga bahan lain yang terlibat dalam pembuatan makanan itu atau kenaikan kos pekerja.

"Jaminan itu diberikan kerana kenaikan harga gula itu terlalu kecil dan mampu diserap oleh mereka (peniaga).

"Misalnya harga teh tarik, kenaikan harga gula hanya menyebabkan kenaikan sekitar 0.5 sen hingga 0.8 sen secawan, sebab itu mereka boleh menampung kenaikan itu dan bersetuju bahawa ia tidak akan memberi kesan," katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Ismail Sabri berkata, oleh itu rakyat kini tidak perlu bimbang kenaikan harga gula 20 sen sekilogram baru-baru ini akan menjejaskan perbelanjaan mereka.

"Dari segi penggunaan sendiri, kajian mendapati penggunaan di rumah hanya sekilogram atau dua kilogram sebulan, jadi kenaikan perbelanjaan hanya sekitar 20 sen hingga 40 sen sebulan.

"Dari segi kebimbangan rakyat yang takut harga barangan lain akan naik, pihak industri termasuk restoran hari ini memberi jaminan tidak akan menaikkan harga dalam masa terdekat," katanya.

Ismail Sabri turut meminta kerjasama orang ramai untuk memaklumkan kepada kementerian jika ada pihak yang menaikkan harga makanan atau minuman disebabkan kenaikan harga gula, dan kementerian juga telah menggerakkan pasukan petugas khas untuk turun padang bagi memantau perkara itu.

Ditanya mengenai bekalan, Ismail Sabri berkata, kekurangan bekalan gula sebelum ini disebabkan cuti perayaan yang panjang, menyebabkan pengilang dan pemborong hanya mula mengedar bahan itu Isnin lepas dan bekalan gula dijangka pulih dalam masa seminggu.

Menurut beliau, tidak semua barang di negara ini akan kekal pada harga sekarang, termasuk petrol kerana ia di luar kawalan dan bergantung kepada harga pasaran dunia. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain