suria

Bantahan NGO Kutuk Serangan Gereja

KUALA LUMPUR: Bantahan secara aman diadakan di Masjid Negara di ibu kota selepas solat Jumaat hari ini tanpa insiden, malah sekumpulan 83 badan bukan kerajaan (NGO) yang berkumpul di situ mengutuk kejadian bakar gereja yang berlaku awal hari ini.

Mereka membantah pencerobohan itu dan menyifatkan tindakan itu akan mengeruhkan lagi keadaan.

Awal hari ini, dua gereja satu di Desa Melawati, Kuala Lumpur dan satu lagi di Jalan Templer, Petaling Jaya mengalami kebakaran akibat perbuatan khianat manakala satu lagi juga di Petaling Jaya menerima ugutan.

Wakil kumpulan NGO tersebut, Arman Azha Abu Hanifah, yang juga Ketua Wira Perkasa Negeri Selangor berkata, tindakan itu merupakan provokasi sesetengah pihak yang boleh mendatangkan perpecahan kaum di negara ini.

"Kita tidak akan bertindak sedemikian sehingga boleh memecahbelahkan kaum dan keharmonian negara," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan aman NGO Melayu di perkarangan Masjid Negara di sini.

Mereka berkumpul di perkarangan masjid dan bersurai dengan aman selepas 10 minit bagi membantah keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan majalah mingguan Katolik, Herald, menggunakan kalimah "Allah" dalam terbitannya.

Arman Azha meminta agar akta berkaitan agama Islam diteliti semula bagi mengelak perkara yang sama daripada berulang dan meminta agar Majlis Raja-Raja Melayu memainkan peranan dengan bertindak bagi mempertahankan maruah agama Islam.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Jamaluddin Yusoff berharap penganut agama lain menghormati agama Islam dan orang Islam demi menjaga keamanan negara.

"Bagi mewujudkan 1Malaysia, kita kena menghormati agama lain agar tidak berlaku pecah-belah antara kaum dan kalimah Allah itu sudah termaktub sebagai hak orang Islam," katanya.

Beliau berkata, umat Islam di negara ini dapat bersabar sehingga kes ini selesai dan tidak bertindak di luar kawalan.

Tinjauan Bernama mendapati terdapat beberapa sepanduk turut dipasang dalam kawasan masjid bagi membantah penggunaan kalimah "Allah" oleh Herald.

Jurucakap polis berkata, keadaan di perkarangan masjid terkawal dan tiada perkara yang tidak diingini berlaku manakala anggota polis turut ditempatkan di beberapa lokasi di sekitar masjid.

Di sekitar Petaling Jaya, tinjauan mendapati suasana di Masjid Seksyen 14 dan beberapa gereja adalah tenteram.

Tidak ada sebarang perhimpunan diadakan di masjid tersebut dan umat Islam terus bersurai sebaik selesai menunaikan solat Jumaat.

Keadaan sama juga dilihat di gereja St Francis bersebelahan Catholic High School di Jalan Gasing dan para pelajar kelihatan melaksanakan aktiviti harian seperti biasa.

Di Ipoh, lebih 500 umat Islam menyertai solat hajat yang dipimpin Imam Masjid Negeri Perak, Pohat Hatim, selepas solat Jumaat.

Kira-kira 1,000 orang berkumpul di luar kawasan masjid kononnya beberapa NGO akan mengadakan demonstrasi.

"Setelah menunggu beberapa lama.. saya kira ia tidak akan diadakan kerana tiada sepanduk dan sebagainya," kata Halim Ali, seorang pekerja swasta.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana sempat menyertai solat hajat yang diadakan dan berpendapat ia lebih baik memandangkan isu itu kini berada di peringkat mahkamah dan polis juga telah melarang diadakan perhimpunan bagi mengelak keadaan menjadi lebih buruk.

Rakannya, Hussin Abdullah, 35, pula berkata, isu itu tidak seharusnya diperbesarbesarkan kerana yakin kerajaan akan dapat mencari jalan penyelesaian.

Artikel Berikut

Artikel Lain