suria

Bakar Gereja: Jangan Tuduh Anggota ATM Terlibat

KUALA LUMPUR: "Jangan kaitkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam insiden membaling bom ke gereja awal pagi tadi."

Itu peringatan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Hamidi sambil menegaskan supaya tiada pihak yang sengaja membangkitkan kemarahan dengan mengaitkan insiden itu dengan pihak keselamatan terbabit

"Saya fikir jangan ada provokasi kepada mana-mana pasukan tentera dan kita harap begitulah sebaliknya, tidak ada angkatan tentera yang melakukan provokasi itu bagi pihak di luar," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Diploma Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden melontar koktel Molotov ke tiga buah gereja di Lembah Klang awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 4 pagi, bahan letupan buatan sendiri itu dipercayai dilontarkan ke gereja The Assumption namun difahamkan ia tidak mendatangkan kerosakan.

Tiga buah gereja terbabit ialah Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dan Gereja The Assumption di Jalan Templer serta Gereja Life Tabernacle, kedua-duanya di Petaling Jaya

Mengulas lanjut, Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata, beliau bagaimanapun masih belum menerima laporan berhubung perkara itu.

"Pada hemat saya, perkara sebegini tidak harus berlaku sama ada ia dilakukan oleh orang awam atau anggota tentera,” katanya.

Katanya, Malaysia harus kekal sebagai sebuah negara yang tidak mengamalkan unsur-unsur keganasan sama ada yang berstruktur atau tidak.

"Kita hendaklah patuh kepada undang-undang yang telah ditetapkan. Saya fikir perbezaan pendapat mesti diselesaikan dengan kekuatan akal dan bukannya dengan kekuatan fizikal atau material," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, mengenai isu kehilangan enjin pesawat F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilaporkan, Ahmad Zahid berkata tidak ada penutupan fakta-fakta berhubung insiden tersebut.

"Saya tidak mahu ada tuduhan yang mengatakan mereka yang dituduh hanya kambing hitam atau kita hanya tangkap ikan bilis tetapi ikan besar tidak ditangkap.

"Kita mengambil tindakan daripada siasatan yang telah dijalankan oleh ketua marsyal tentera dan pihak polis," katanya.

Zahid berkata, siasatan mendapati tidak ada orang lain terlibat secara langsung dengan kehilangan enjin berkenaan.

"Ingin saya sebutkan sekali lagi tidak ada anggota tentera yang berpangkat lebih tinggi daripada sarjan terlibat dalam kes ini," katanya.

Menurutnya, laporan awal berhubung kehilangan enjin itu dibuat atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu menjadi Menteri Pertahanan.

"Ingin saya sebutkan Perdana Menteri ketika menjadi Menteri Pertahanan, beliaulah yang meminta supaya laporan polis dibuat apabila beliau sendiri menerima laporan pada hari berkenaan.

"Beliau telah meminta laporan dibuat pada hari yang sama dan tidak ada penutupan fakta-fakta kes kehilangan enjin kapal terbang ini,” katanya.

Rabu lepas, seorang anggota TUDM, Sarjan N. Tharmendran, 42, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya terhadap pertuduhan bersubahat atas dakwaan mencuri enjin pesawat F5 jenis J8521 milik TUDM.

Selain itu, seorang pengarah syarikat pembekalan, K.Rajandran Prasad, 38, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat mencuri dan menghapuskan enjin pesawat itu.

Kerajaan kini berusaha untuk mendapatkan kembali kedua-dua enjin itu yang telah dikesan di Uruguay.

Artikel Berikut

Artikel Lain