suria

Warga Emas Ditemui Mati Di Ladang

KUALA KRAI: Kehilangan seorang lelaki warga emas sejak beberapa hari lepas menggemparkan penduduk kampung apabila dia ditemui mati di sebuah ladang getah di Kampung Slow Pak Long, dekat sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai DSP Abdul Rahim Che Ghani berkata mangsa, Mohamed Jaya, 72, dikatakan hilang sejak Sabtu lalu sebelum penduduk kampung yang melancarkan gerakan mencarinya menemui lelaki itu terbaring tidak bernyawa di ladang getah miliknya.

"Penduduk kampung mendakwa kali terakhir menemui mangsa pada Jumaat lalu dan melancarkan gerakan mencari mangsa Selasa lepas setelah empat hari mangsa disedari tidak pulang ke rumahnya.

"Bagaimanapun penduduk kampung kemudian gempar apabila menemui mangsa telah meninggal dunia di ladang getah miliknya itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis yang menjalankan siasatan awal setelah menerima laporan penemuan mayat itu mendapati mangsa berkemungkinan mati akibat terkena renjatan elektrik yang dipasang pada pagar di ladangnya untuk melindungi daripada binatang buas.

Abdul Rahim berkata polis yang mengklasifikasikan kes terbabit sebagai kematian mengejut bagaimanapun akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk dibedah siasat dan dikebumikan di Kelaboran, Tumpat.

Sementara itu, anak tunggal mangsa, Asroha Mohamed, 35, berkata beliau mendapat panggilan daripada penduduk kampung mengenai penemuan mayat bapanya itu kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

Menurutnya bapanya menetap di kampung terbabit sejak hampir 40 tahun lalu dan tinggal sendiri di rumahnya memandangkan Asroha sekeluarga tinggal di Kelaboran, Tumpat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain