suria

Tiada Lagi Subsidi Petrol Untuk Warga Asing Lepas 1 Mei

PETALING JAYA: Mulai 1 Mei, warga negara asing tidak lagi akan menikmati subsidi petrol yang disediakan kerajaan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

"Pada masa sekarang semua mendapat subsidi, termasuk warga asing. Bermula 1 Mei, pembelian menggunakan MyKad akan diperkenalkan, dengan hanya warganegara layak mendapat subsidi," katanya

Ismail berkata, bagi warganegara pula, bukan semua akan menikmati subsidi seperti sekarang kerana subkategori akan diperkenalkan, dengan hanya kumpulan sasaran sahaja akan mendapat subsidi," katanya selepas merasmikan identiti korporat baharu bahagian minuman ringan Fraser & Neave Holdings Bhd.

Katanya, subsidi petrol bagi yang layak akan ditentukan berdasarkan kapasiti enjin kenderaan mereka, dengan tumpuan diberikan pada golongan berpendapatan rendah yang kebiasaannya menggunakan kapasiti enjin yang rendah.

Pengumuman lanjut mengenai mekanisme baru itu akan dibuat pada 1 Mei, katanya.

Ismail berkata, bagi RON 95, kerajaan kini memberi subsidi sebanyak 30 sen bagi setiap liter. Harga sekarang ialah RM1.80 berbanding harga sebenar iaitu RM2.10.

"Jadi harga RON 95 bersubsidi sekarang ialah RM1.80. Mereka yang tidak layak mendapat subsidi dan warga asing akan membayar RON 95 pada harga RM2.10 atau lebih.

"Golongan yang mendapat subsidi pula akan membayar petrol pada harga yang ditetapkan sekarang iaitu RM1.80," katanya.

Ismail berkata, kerajaan juga mungkin akan mengenakan cukai yang akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan. Pengumuman lanjut mengenai mekanisme baru itu akan dibuat pada 1 Mei.

Selain mengekalkan subsidi minyak, kerajaan juga masih mengekalkan subsidi gas, gandum, dan juga gula, katanya. Menurut Ismail, walaupun harga gula dinaikkan sebanyak 20 sen, namun kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak 80 sen.

"Tahun lepas kerajaan memberi subsidi sebanyak 60 sen sekilogram, namun disebabkan kenaikan harga gula dunia yang mendadak sejak Ogos tahun lepas, kerajaan terpaksa menanggung subsidi sebanyak RM1.00, sebab itu kita naikkan harga," katanya.

Dengan subsidi 80 sen yang diberikan itu, katanya kerajaan akan menanggung subsidi sebanyak RM1.008 bilion tahun ini berbanding RM720 juta tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain