suria

Sindiket Palsu Dokumen Tumpas

BUTTERWORTH: Satu sindiket yang menjual pasport antarabangsa dan lesen memandu palsu kepada warga asing di sini dengan harga antara RM30 hingga RM100 sekeping berjaya dtumpaskan oleh Jabatan Imigresen Pulau Pinang di sini semalam.

Dalam dua serbuan berasingan, pegawai penguatkuasa Imigresen menahan sepasang kekasih dan seorang 'orang tengah' warga Myanmar serta merampas perisian komputer dan sejumlah pasport antarabangsa dan lesen memandu palsu.

Pengarah Imigresen Negeri Abdul Rahman Harun berkata pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun dan kekasihnya, seorang warga China, berusia 43 tahun, di rumah sewa mereka di Bukit Mertajam, dekat sini, pada pukul 9.20 malam tadi.

"Lelaki tempatan itu dipercayai sebagai perancang utama sindiket itu yang beroperasi sejak tiga bulan lepas di sekitar Bukit Mertajam dan Pulau Pinang," katanya kepaad pemberita di sini hari ini.

Katanya tangkapan pasangan kekasih itu adalah susulan kepada penahanan seorang lelaki warga Myanmar, dipercayai 'orang tengah' sindiket itu, ketika memandu di Jalan Baru, Seberang Perai, dekat sini, pada pukul 8 malam tadi.

Abdul Rahman berkata hasil siasatan awal mendapati wanita China itu telah tinggal di negara ini melebihi tempoh ditetapkan iaitu sejak Julai 2008.

"Sindiket ini dipercayai mempunyai banyak rangkaian dan setiap perisian bagi memalsukan dokumen dijual menggunakan 'pen drive', harga berbeza mengikut negara pelanggan, anggaran dalam RM30 hingga RM100 satu dokumen," katanya.

Katanya siasatan awal mendapati lelaki tempatan dari Selangor itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dia ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Katanya lelaki Myanmar itu ditahan mengikut Seksyen 63 Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 61A (c) Akta Pasport 1966 iaitu memiliki dokumen yang tidak sepatutnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain