suria

Rosmah Rakam Penghargaan Pembebasan Pelajar Malaysia di Mesir

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada isteri Presiden Mesir Suzanne Mubarak yang memberi maklum balas segera bagi membolehkan pembebasan pelajar Malaysia Ibrahim Mohd Azmi di negara itu Selasa lepas. Isteri Perdana Menteri berkata beliau menghubungi wanita pertama Mesir itu pada pukul 6.15 petang semalam bagi memaklumkan penahanan pelajar perubatan dari Universiti Bristol, United Kingdom itu dan lega apabila pelajar itu kemudiannya dibebaskan kira-kira empat jam selepas panggilan dibuat. "Saya telah merayu kepada Suzanne bahawa seorang pelajar kita telah ditahan dan sebagai seorang ibu kami faham perasaan ibu bapa Ibrahim. Sesiapa punya anak juga jika saya boleh tolong atau membuat sesuatu untuk meringankan beban ibu bapa, Insya-Allah saya akan tunaikan kewajipan saya.

"Saya juga telah maklumkan (kepada Suzanne) pelajar ini muda penuh dengan emosi, ditahan kerana ambil gambar dan mungkin beliau tidak mengetahui kesalahannya. Saya amat menghargai respon yang diberi Suzanne apabila beliau terus meminta nama pelajar dan butir-butir seperti nombor pasport dan tarikh lahir," katanya kepada pemberita di kediamannya di sini hari ini.

Rosmah berkata beliau turut memberitahu Suzanne bahawa Ibrahim, 22, itu perlu dibebaskan kerana perlu menyambung pengajian yang dijadual bermula esok.

Rosmah berkata bapa Ibrahim, Dr Mohd Azmi Mohd Ghazali mahukan supaya anaknya balik menumpukan perhatian kepada pelajaran kerana beliau ditaja oleh Mara.

"Saya berharap pelajar lain supaya meletakkan keutamaan untuk mendapatkan ijazah dulu dan jangan melibatkan diri dalam perkara yang tidak berkaitan dengan kokurikulum pembelajaran," katanya.

Mengenai bantuan perubatan dan juga makanan yang dibawa konvoi kemanusiaan Viva Palestina yang ditahan daripada memasuki Semenanjung Gaza oleh kerajaan Mesir, Rosmah berkata beliau gembira apabila bantuan itu sudah selamat tiba.

Rosmah berkata dalam perbualan telefon semalam, Suzanne terlebih dahulu memberikan jaminan kepada beliau bahawa bekalan makanan, ubatan dan juga ambulans akan sampai kepada mangsamangsa di Gaza.

Julai lepas, Rosmah bertemu Suzanne semasa menghadiri Sidang Kemuncak Wanita Pertama Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) di bandar Sharm El Sheikh, Mesir di mana wanita pertama Mesir itu mengajak Rosmah menganggotai pergerakan keamanan antarabangsa yang dipelopori Suzanne.

Sementara itu, Dr Azmi berkata beliau bersyukur anaknya dibebaskan dan memberitahu bahawa beliau dilayan dengan baik sepanjang penahanan serta barangannya seperti telefon bimbit dan kamera dipulangkan.

"Sebelum pergi menyertai konvoi, Ibrahim ada memaklumkan nak pergi mengambil gambar kerana minat malah kami sekeluarga mempunyai minat yang sama. Mungkin ia bukan satu keputusan yang tepat pada ketika itu apabila perkara ini terjadi," katanya.

Dalam kejadian Rabu lepas, lebih 10 anggota konvoi Viva Palestina cedera, empat daripadanya parah dan tujuh termasuk Ibrahim ditahan polis Mesir dalam kejadian tunjuk perasaan di pelabuhan ElArish di Mesir.

Tunjuk perasaan itu diadakan sebagai membantah keputusan Kerajaan Mesir melarang anggota dan 59 buah kenderaan konvoi Viva Palestina dibawa keluar dari pelabuhan ElArish untuk dibawa ke Gaza. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain