suria

Remaja Didera Kerana Ketatkan Uniform

TUMPAT: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun cedera parah di kaki dan beberapa bahagian badan dipercayai didera ibu bapanya, berpunca daripada tindakan pelajar itu mengecilkan saiz uniform sekolahnya.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Khalid Munap berkata, kejadian di Kampung Geting dekat sini berlaku kira-kira jam 7 pagi semalam ketika pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Geting sedang bersiap untuk ke sekolah.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa, pada mulanya dia dimarahi ibunya ekoran tindakan mengecilkan uniform sekolah namun bapa pelajar terbabit yang bosan mendengar leteran isterinya itu kemudian bertindak memukul mangsa dengan seterika panas dan rotan.

"Selain itu, mangsa yang merupakan anak sulung daripada lima beradik turut mendakwa dicederakan ibunya yang menarik rambut dan menyepaknya berkali-kali," katanya kepada pemberita di sini.

Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kaki, tangan dan hampir keseluruhan badan, kata Khalid.

Menurutnya, mangsa yang kesakitan kemudian menceritakan kejadian itu kepada salah seorang rakan sekolahnya sebelum rakannya itu membawa mangsa ke Hospital Kelaboran untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, pihak hospital yang sangsi dengan keadaan mangsa yang kelihatan seperti didera kemudian memaklumkan perkara itu kepada polis.

Khalid berkata, polis kemudian menahan bapa mangsa untuk siasatan lanjut. Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain