suria

Lima Warga Iran Direman Bersabit Kes Dadah

KUALA LUMPUR: Lima lelaki warga Iran yang ditahan pada Jumaat lepas kerana dipercayai terlibat sebagai "kurier dadah" direman selama seminggu sehingga Ahad ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Zulhasnan Najib Baharudin berkata kelima-lima mereka yang berumur antara 23 dan 42 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan kes pengedaran dadah jenis syabu seberat 10 kilogram bernilai RM2.5 juta.

"Sindiket ini yang menyeludup masuk dua buah bagasi berisi pakaian yang dicelup dengan syabu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan," katanya pada satu sidangan akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan bagi mencari punca bagaimana sindiket itu dapat melepasi sistem pemeriksaan di lapangan terbang berkenaan.

Katanya, selain taktik mencelup pakaian, sindiket itu turut menggunakan kaedah menyembunyikan dadah di bahagian bawah bagasi yang dijahit semula bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Minggu lepas polis merampas dua bagasi berisi dua helai tuala, dua helai baju dan tiga helai seluar panjang yang dicelup dengan cecair syabu di hotel tempat penginapan kelima-lima suspek itu, di sekitar ibu negara.

Zulhasnan berkata, sepanjang tahun lepas 35 sindiket edar dadah berjaya ditumpaskan di seluruh negara dan 19 daripadanya membabitkan rakyat tempatan manakala selebihnya melibatkan kumpulan warga asing yang terdiri daripada rakyat Afrika, Iran, Taiwan, India, Pakistan dan China.

Sementara itu beliau berkata, nilai rampasan dadah di seluruh negara sepanjang tahun lepas meningkat 48.9 peratus iaitu daripada rampasan bernilai RM260.87 juta pada tahun 2008 kepada RM388.37 juta tahun lepas.

Beliau berkata, hasil risikan dan operasi yang dijalankan sepanjang tahun lepas, polis berjaya membanteras 11 makmal pemprosesan dadah berbanding 12 makmal pada 2008 dan sembilan pada 2007.

"Polis turut merampas 858.5kg serbuk Eramin 5, 434kg serbuk ecstacy, 33.36kg syabu dan 18.9kg kokain yang mana kesemua dadah ini bernilai RM141.69 juta dalam operasi bersepadu sepanjang tahun lepas," tambahnya.

Zulhasnan seterusnya berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merancang untuk menempatkan anggotanya di tujuh negara yang dikenal pasti menjadi pusat pengedaran dadah bagi mengumpul maklumat dan menjalankan risikan dalam usaha menumpaskan sendiket pengedaran dadah antarabangsa.

Menurut beliau, polis baru-baru ini menghantar cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menempatkan anggotanya di Vietnam, Kemboja, Belanda, Peru, Hong Kong, Iran dan Loas dalam usaha memudahkan pihaknya mengumpul maklumat bagi mengenal pasti dalang sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

"Rancangan ini sejajar dalam usaha membanteras sindiket pengedaran dadah antarabangsa mulai tahun 2010. Selain itu dengan cara ini Malaysia boleh berkongsi maklumat dan bekerjasama dengan negara terbabit bagi membendung kegiatan pengedaran dadah daripada terus berleluasa," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain