suria

Konvoi Viva Palestina Tiba Di Gaza

GAZA: Konvoi bantuan kemanusiaan terbesar Viva Palestina, yang memulakan perjalanannya di London pada 6 Disember 2009, berjaya menyeberang sempadan Rafah untuk memasuki Gaza awal hari ini.

Setelah tergendala beberapa minggu, 450 anggota kontinjen itu akhirnya dibenarkan memasuki wilayah Palestin yang dikepung itu bersama bekalan ubat-ubatan, makanan dan peralatan pembelajaran bernilai lebih sejuta dolar bagi diagihkan kepada penduduk Gaza.

Konvoi berkenaan bertolak dari pelabuhan El Arish pada pukul 10.30 malam waktu tempatan dan melalui pemeriksaan selama dua jam oleh pihak berkuasa Mesir di pusat pemeriksaan itu, sebelum meneruskan perjalanan sejauh 40km ke sempadan Rafah.

Konvoi itu dibenarkan menyeberangi sempadan tanpa banyak kerenah oleh pihak berkuasa dan sempadan Rafah merupakan satu-satunya kawasan Gaza yang tidak bersempadan dengan Israel.

Setelah meredah perjalanan selama sebulan yang penuh dengan keadaan tidak menentu dan hampir dilanda tragedi apabila anggotanya bertegang leher dengan pihak berkuasa Mesir, kini perasan lega terpamer di wajah hampir setiap peserta apabila kenderaan mereka tiba di kawasan parkir khas di bahagian tengah Gaza.

Hanya kira-kira 150 kenderaan dibenarkan memasuki Gaza, manakala 59 lagi ditinggalkan di pelabuhan El Arish seperti yang diarahkan pihak berkuasa Mesir.

Anggota konvoi itu dari Turki akan membawa balik kenderaan berkenaan ke negara mereka sebelum diserahkan kepada khemah pelarian Palestin di Syria dan Lubnan.

Bekalan bantuan yang sarat diisi dalam 150 kenderaan berkenaan kini menjadi milik rakyat Palestin di Gaza, yang hidup dalam kepungan secara kejam oleh regim Tel Aviv sejak sekian lama.

Israel mengenakan kepungan di Semenanjung Gaza selepas pergerakan Hamas berkuasa di wilayah itu pada Jun 2007.

Sementara itu, anggota konvoi berkenaan dibawa menginap di beberapa hotel di sekitar kawasan tengah Gaza oleh pihak berkuasa tempatan, yang menunggu dan menyambut ketibaan mereka.

Mengikut perancangan, satu majlis sambutan secara besarbesaran akan diadakan bagi meraikan konvoi itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain